web widgets

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri ditubuhkan pada  1 Januari 1969 dan merupakan sekolah menengah pertama di ‘Pekan Seramik Ayer Hitam’. Sebelum ini para pelajar lepasan sekolah rendah di sekitar pekan ini melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah menengah yang terdapat di Parit Raja dan bandar Kluang. Sekolah ini memulakan sesi persekolahan dengan menggunakan dua bahasa pengantar iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dan dikategorikan sebagai Sekolah Luar Bandar.


          Bagunan asal ketika memulakan sesi persekolahannya adalah terdiri daripada dua blok sahaja iaitu Blok Arif dan Blok Bestari dengan bilangan pelajar sebanyak 224 pelajar dan 11 guru. Pada tahun 1971 kali pertama sekolah ini mengadakan Peperiksaan SRP dan LCE. Pada tahun 1975 sekolah ini hanya mengadakan satu aliran iaitu  aliran bahasa Melayu sahaja sebagai bahasa pengantar. Pada tahun 1977 kelas tingkatan empat aliran sastera dimulakan dan pada tahun berikutnya sekolah mengadakan peperiksaan SPM yang pertama.

          Memandangkan jumlah pelajar yang semakin meningkat keperluan penambahan bangunan baru dirasakan dan pada tahun 1979 projek pembinaan Blok Campin dimulakan dan bangunan ini dapat digunakan pada tahun 1980. Pada ketika ini terdapat sebanyak 1473 orang pelajar dengan 52 guru.

          Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Menengah Rendah Ayer Hitam dan pada 25 Januari 1985 ditukar kepada Sekolah Menengah Datuk Menteri. Penukaran nama tersebut sebagai mengenang jasa atas sumbangan Datuk Menteri Besar Johor iatu Dato’ Jaafar bin Hj. Muhamad yang terkenal sebagai arkitek dan pengasas Johor moden.

            Blok Dinamik dan surau pula dibina dan digunakan pada tahun 1983. Pada tahun ini Bengkel Kemahiran Hidup dan dua buah rumah guru telah disiapkan. Sekolah juga memulakan kelas tingkatan empat aliran sains tulen. Pada tahun 1987, empat bilik darjah di Blok Elit berjaya disiapakan di bawah Projek Gotong Royong. Pada tahun 1988 sekolah ini memulakan kelas tingkatan enam. Blok Fatan disiapkan pada tahun 1993.

              Sekolah ini mengadakan sambutan Jubli Perak pada tahun 1996 dengan majlis perasmian sekolah yang disempurnakan oleh Datuk Sri Mohd. Najib b. Tun Abd. Razak sebagai Menteri Pendidikan.

            Dewan sekolah ‘Sri Perdana’ disiapkan pada tahun 2001 dan dirasmikan oleh Dato’ Hj. Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor. Setahun selepas itu sebuah blok rumah guru yang mengandungi lapan pintu berjaya disiapkan.

          Pada tahun 2002 Bilik Sri Mawar, Sri Cempaka dan I-Heksagon telah dibina. Sekolah ini juga terpilih untuk mempelopori Program E-Learning for Life. Dua buah teratak bacaan berjaya didirikan untuk kegunaan pelajar dan pada pertengahan tahun 2006 makmal komputer mula dibina dan digunakan pada tahun berikutnya.



          Blok Pintar yang mengandungi empat bilik darjah dapat disiapkan dalam masa sebulan dan digunakan pada sesi persekolahan 2009. Bangunan ini menempatkan kelas-kelas Rancangan Khas. Blok Pintar telah dirasmikan oleh YB. Dr. Ir. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 3 April 2010.




TOKOH NAMA SEKOLAH
TOKOH DATUK MENTERI
DATO’ JAAFAR BIN HAJI MUHAMMAD
(D.K, S.P.M.J,C.M.G)
1868-1919

      Tokoh ini dilahirkan di Teluk Belanga, Singapura pada tahun 1838. Memegang jawatan Pelatih Kerani di pejabat Menteri,  Temenggung Ibrahim.Tahun 1856 memegang jawatan Kerani Besar di Pejabat Menteri Besar dan dikurniakan gelaran  Datuk Bentara.

     Tahun 1868 memangku jawatan Datuk Menteri dan tahun 1882 menjadi Datuk Menteri Besar Johor yang pertama. Tahun 1866 mengiringi Temenggung Abu Bakar dalam lawatan pertamanya ke Eropah. Pada 1886, beliau dikurniakan Pingat Kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Johor. Tahun 1904 menjadi Pemangku Raja dan menjalankan pemerintahan Kerajaan Johor semasa baginda berada di luar negeri. Pada 1910  Sultan menerima seorang Penasihat Inggeris. Beliau bersama-sama dengan Datuk Seri Amar Di Raja menentang cita-cita Inggeris menakluki Johor. Meninggal dunia pada 3 Julai 1919.


     Beliau terkenal sebagai seorang yang tegas, berterus terang dan tidak mudah tunduk kepada Inggeris. Sesungguhnya tokoh ini telah memberikan sumbangan besar dalam mengemaskini jentera pentadbiran Kerajaan Johor.  Nama gelaran Datuk Menteri dipilih sebagai nama sekolah untuk mengenang jasa dan sumbangan beliau sebagai arkitek dan pengasas Johor Moden.

0 comments:

Post a Comment